Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, August 3, 2009

5 Tips Memulakan Perkenalan

Bagi sesetengah individu, proses memulakan perkenalan mungkin amat mudah bagi mereka. Namun bukan semua orang mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi untuk memulakan sesebuah perkenalan.

Apatah lagi jika mereka mahu memulakan perkenalan dengan seseorang yang berlainan jantina atau berbeza latar belakang kehidupan.

Namun ada beberapa cara berkesan yang boleh diaplikasikan jika anda mahu memulakan perkenalan dengan seseorang. Bagaimanapun anda perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan kerana tidak semestinya semua salam perkenalan itu akan bersambut.

1. Bersedia untuk ditolak
Bukan semua orang selesa apabila ada seseorang yang tidak mereka kenali menghulurkan salam perkenalan. Sebagai contoh, seorang wanita yang sudah mempunyai teman lelaki atau suami, pastinya tidak akan berasa selesa dengan situasi ini.

Oleh sebab itu sebagai lelaki anda jangan sesekali tersalah sasaran kerana ia hanya akan membuatkan anda malu pada diri sendiri. Dalam aspek ini anda perlu bersedia jika kehadiran anda tidak disenangi dan akhirnya ditolak.

Namun itu tidak bermakna anda tidak cukup bagus untuk menjalinkan hubungan dengan mereka. Mungkin dengan orang lain, salam perkenalan yang anda hulurkan akan bersambut jika ianya kena dengan situasi atau status seseorang itu.

2. Buang rasa malu
Kebanyakan lelaki atau wanita gagal untuk memulakan perkenalan yang baru di dalam hidup mereka kerana memiliki rasa malu yang sangat tebal

Perasaan itu perlu dikikis kerana ramai orang yang kurang gemar untuk bersahabat dengan seseorang yang terlalu pemalu. Apatah lagi jika anda malu tidak bertempat atau untuk perkara yang seharusnya anda tidak perlu malu.

Cubalah bersikap terbuka kerana sikap sebegitu membuatkan orang lain selesa untuk mendampingi anda. Malah lelaki atau wanita paling suka jika pasangan mereka bersikap positif dan terbuka dengan apa sahaja situasi yang mereka lalui.

3. Belajar memahami
Sebagai lelaki mereka perlu memahami reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang wanita dengan salam perkenalan yang dihulurkan. Jika mereka menunjukkan reaksi positif, anda jangan teragak-agak untuk meneruskan perhubungan tersebut.

Namun jika wanita tersebut berusaha melarikan diri daripada anda dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah, jangan sekali-kali mendesak. belajar menerima keputusan yang dibuat olehnya.

Sementara itu bagi golongan wanita pula, anda mestilah menunjukkan sikap sabar di dalam perhubungan yang terjalin. Lelaki tidak suka dengan wanita yang gelojoh kerana beranggapan wanita sebegitu sebagai murah atau sudah terdesak untuk mencari calon suami.

4. Ingat nama dan simpan nombor telefonnya
Tidak kira lelaki atau wanita, anda jangan sekali-kali lupa akan nama teman barumu itu. Jika anda terlupa, itu bermakna anda tidak merasakan kehadiran mereka penting dalam hidup mereka.

Itu membuatkan mereka akan berkecil hati walaupun hakikat sebenarnya anda sangat teringin untuk mempereratkan perhubungan yang baru terjalin. Selain itu anda juga perlu menyimpan nombor telefonnnya.

Maklumlah jika si dia menghantar SMS kepada anda, tidaklah anda tertanya-tanya siapa yang menghantarnya. Jika anda membalas SMS tersebut dengan pertanyaan 'siapa ni?', sudah pasti perhubungan yang baru sahaja terjalin akan putus di pertengahan jalan.

5. Bersikap positif
Di dalam proses menjalinkan perhubungan yang baru, sikap positif dan saling bertolak ansur sangat penting. Golongan wanita tidak menyukai lelaki yang bersikap terlalu kasar. Apatah lagi jika anda baru berkenalan dengannya.

Manakala golongan lelaki pula tidak gemar dengan wanita yang terlalu suka mengongkong dan terlalu mengambil tahu akan dirinya. Maklumlah anda berdua baru sahaja perkenalan. Jadi tidak perlulah anda menjaganya mengalahkan ibunya sendiri.

Di dalam aspek ini anda berdua perlu bijak menjaga hati masing-masing dan belajar untuk memahami karektor teman baru anda. Berikan dia masa untuk menyesuaikan diri dengan anda dan percayalah sikap sabar yang anda tunjukkan itu pasti berbaloi pada masa yang akan datang.

No comments:

Post a Comment